Thursday, November 12, 2009

Sebuah kehilangan

Kini telah hilang dariku sebutir permata
yang pernah menyinari hidupku
lenyap jua payung cinta yang menjadi naungan mengadu beban dan harapan
kenangan bersamanya yang terindah kini menjadi sejarah diri yang abadi

dan dalam kesepian ini daku dihimpit pelbagai masalah yang mendatang
namun pada tuhan selalu ku sandarkan harapan
doa dan sujud tak jemu ku persembahkan
kerna ku tau dialah segalanya yang Maha Empunya Kudrat dan Iradat
andai diperintah jadi maka jadilah
pasti dihujung sana akan terbit sirna kebahagiaan buat diriku
bagaikan setelah biduk berlalu kiambang kan bertaut semula

JUJUR

Tika ini ku nantikan sebuah kejujuran
kejujuran dalam perhubungan
ketelusan dalam percintaan
pegangan pada perkataan

walau perit pedih jawapan
aku tetap menerima dengan hati lapang
tiada langsung kesumat mahupun dendam
kerna aku juga insan kerdil hamba tuhan

bukannya perkasawan yang takbur dan berjiwakan syaitan
atau seorang maharaja yang kejam
yang mendabik dada konon dialah tuhan alam
dan menyeru segala makhluk agar padanya diberikan kepatuhan

tidak..aku bukanlah begitu wahai teman
yang ku mahukan masih sebuah kejujuran
jika kasihmu padaku..katakan
dan jika pilihanmu bukan padaku juga..lafazkan

kerna aku masih bisa bernafas kencang
kerna aku telah lama memahamkan
bahawa hakikat pada sebuah kebenaran
walaupun pahit haruslah tetap ditelan

Mawar Berduri

Kala sendirian menyapa
kenangan indah menjelma di mata
mengimbau ceritera cinta kita
gurau senda bersama
bisa mengubat hati lara

namun...
kau kini mawar berduri
sungguhpun aku ingin memetiknya
tapi durinya pasti memberi luka

katamu akan menyingkir duri itu
katamu biarlah aku mendekatimu
tanpa binasa..tanpa luka

tapi waktu bersilih masa
duri itu tetap mengikat jua
Purnama demi purnama
penantian yang entah bila

Tuesday, November 10, 2009

merah itu saga

mmmmmmm...ini gambar kenangan bersama ahli keluarga Tan Sri Annuar Musa (Presiden KAFA)..ekcheli saya ni tak pernah menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium..kira hari ni hari bersejarah jugakla..sebab apa?..sebab ni pertama kali saya menyaksikan perlawanan bola di stadium...ini juga kali pertama pasukan Kelantan layak ke Final Piala Malaysia menentang N.9..pastu yang best pulak dapat tiket VIP free..

tapi ada terasa frust sikit bila Kelantan kalah walaupun saya bukanlah peminat tegar bola sepak..namun sebagai manusia yang hidup di atas rahmat Illahi maka kita haruslah sentiasa menerima Qada' dan Qadarnya..setiap perlawanan adatnya sejak azali lagi harus ada yang tewas..namun perjuangan itu perlu diteruskan kerna sunnatullah itu sendiri mahukan umat islam untuk mencipta hari-hari yang lebih baik dari semalam..so tiada putus asa mahupun putus harap dari rahmat tuhan...sebagaimana selalu diingatkan dalam Kitab yang Teragung mafhumnya " Serulah kepada Tuhan kamu, nescaya akan dimakbulkan segala doa-doa".

Monday, November 9, 2009

Talkin Cinta

Kala termakbulnya lafaz akad itu
maka akan diaraklah jenazah cinta kita
menuju ke lahad abadi diiringi airmataku

Dan tika itu juga akan meraung
dan merataplah segala unggas dirimba
burung dilangit dan ikan di lautan sepi
yang tau dan mengerti kesetiaan cintaku padamu

lalu dikuburkan dalam liang yang amat sempit
dan menghimpit hingga hancurlah segala hati dan jiwa
serta seluruh anggota

lalu dibacakan talkin cinta
dari puisi-puisi dan madah-madah rindu
yang pernah ku puitiskan padamu

dan akan dihitungkan segala kenangan
pahit dan manis menjadi bekalan diri ke akhirat yang abadi

resah

Bintang yang bertaburan indah
kini hilang sinarnya dilindung awan kelabu
pasir memutih kini hilang dilanda ombak pasang
walaupun daratan masih beradu

Desiran ombak memukul pantai keras menerjah batu-batu
bagai kecewa menghempas dadaku
sunyi camar dari siulan riang
walau sinar rembulan masih gagah menyuluh kelam

Begitu juga diumpamakan cinta kita
retak menanti belah
pecah menanti berderai
bagai berkecainya sinar mentari mencacah tanah
walau besar pada faedah

Friday, October 30, 2009

tarikh keramat 27/10/2009...so meaningful to me.

Luka Yang Berdarah kembali

Betapa hati ini terguris untuk sekian kalinya
Mawar merah yang menitiskan embun dihujung tangkainya
Rupanya hanyir darah yang menutupi kelopaknya
Kini sendu dan pasrah bertandang lagi untuk kesekian kalinya

Bukan ku salah pada takdir yang menemukan kita
Namun ku sesali pada diri yang terlalu mendambakan cinta setia
Ku sangka permata telah didalam genggaman
rupanya kaca yang membara kepanasan

jiwa merintih terluka
hati menangis sengsara
marah bukan kepalang, jiwa tidak tenteram
namun ku sedar ia jua dari tuhan

andai ini hukuman buat diri yang pernah terlupa
akan ku ratib bermunajat padamu ya tuhan
agar cintaku padamu tiada berbolak-bolakan
dan didalam nafas telekuku ku akui dan doakan
atas nama dikau yang bersifat dengan segala kesempurnaan.
Ampunkan aku Ya Tuhan…….

Takdir

Berdiri aku disebuah persimpangan
Jauh dari manusia sunyi dari segala suara
Hanya aku jasadku dan tuhanku
Dan satu nama yg seindah nama dan selembut wajahmu

Detik hati berparangan dengan bisikan azali
Inginku teruskan rasa cintaku padamu
Namun berbalah minda dan benak menyekat segala seleraku
Merantai kaki dan lafaz bicara bibirku

Bukan ku salah pada takdir yg menemukan kita sementara
Tapi itulah sebaik-baik ketentuan bagiku
Diriku dan dirimu jauh berbeda
Harta dan rupa pilihan dipinta yg sunyi dariku

Walau jauh dihati sering berdoa dan berusaha agar hidupku berubah
Mungkin tuhan belum memberikan kepadaku segala rahsia alam ini
Pasti kelak tiba masanya jua

Dan pada rasa cinta kasih dan rindu padamu
Biar ku simpan saja jauh disudut hati
Dan ku yakin dan pasti kau bisa saja tenang dan berbahagia
Disamping kekasihmu yg terlebih dahulu mencintaimu
Namun selamanya kau tetap di jiwaku sayang…

Destinasi Cinta

Ku susuri perjalanan jauh ini
Bagaikan jua ku menyusuri perjalanan
ke destinasi cintamu yang rumit dan beronak duri

biarpun empat purnama silih berganti
namun masih belum ku temui satu jawapan pasti darimu
betapa keras dan tebal tembok hatimu
membuat tak bisa ku takluki jiwamu.

Walau ku berada di kelompok keriuhan manusia
Namun hanya kesunyian yang kurasai
Dirimu dan diriku semakin jauh di sana
Hatimu,jiwamu, kasihmu rindumu
Semuanya tiada padaku
Oh tuhan betapa resahnya hatiku..

Bumi Palestin Menangis Lagi

Palestin..
Kau hamparkan untukku kisah sejuta kepiluan
Kau bisikkan untukku rasa marah dan dendam
Celakalah Israel dan sekutunya yang meratahmu sakan.
Tiada mengenal lagi pejuang atau orang kebanyakkan.


Palestin..
Kini kau menangis lagi..
Tangisan air mata darah dan rintihan
Siksanya hati ibu-ibu yang kehilangan anak kecil yang masih belum mengerti apa itu peperangan.

Palestin..
Ratiblah dikau pada zat Rabul Alam.
Moga disana nanti pada munajatmu Tuhan kabulkan
Agar dikurniakan tentera suci dari roh jagaan tuhan
Memberikanmu satu kemenangan
Biar si laknat Israel mengerti bahawa bumi Palestin adalah bumi suci bertuan

Palestin..
Majulah dikau.
Memacu kuda-kuda besi dan kibarkan panji-panji Islam
Belalah nasibmu, usah dipedulikan kata orang
Biar darahmu mengalir,biar jasadmu dihentam
Doaku agar roh jihad syuhadakmu bahagia dan tenang tika kembali ke sisi tuhan


Nukilan asmadi ashari@ seruling sepi..
26/01/2009